21.8.08

Hambatan karya sastera Nusantara

Pewarnaan budaya setempat dan jati diri perlu diusahakan

Oleh Nazmi Yaakub, Berita Harian, 21 Ogos 2008


CABARAN karya popular kepada pengarang sastera, jati diri penulis yang terkesan lewat karya dan kepentingan memaparkan warna budaya setempat dalam cerpen diberi perhatian pada Bengkel Program Penulisan Mastera: Cerpen (Bengkel Mastera) di Wisma Algar Mulya, Bogor, Indonesia, baru-baru ini.

Bengkel anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) itu, mengesahkan kebanjiran karya popular tidak hanya melanda negara ini, bahkan turut merempuh dunia sastera negara jiran melalui industrialisasi budaya popular (pop) sehingga menimbulkan kerisauan di kalangan sasterawan dan budayawan mereka.


Program penulisan yang disertai 20 pengarang muda dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura itu, turut menekankan kepentingan pembentukan jati diri serta karektor pengarang dalam karya sehingga menampilkan gaya dan bahasa tersendiri, sekali gus membezakan mereka dengan penulis lain.

Dalam arus globalisasi yang turut merempuh dunia sastera Nusantara, pembimbing Bengkel Mastera, turut mengingatkan peserta untuk tidak meninggalkan warna budaya setempat, sebaliknya mengangkat keunikan dan keistimewaan budaya masing-masing dalam karya.

Pensyarah Universiti Negeri Surabaya (UNESA), Prof Dr Budi Darma, berkata proses industrialisasi yang memasuki dunia sastera termasuk Indonesia membentuk tren bacaan yang menyebabkan sesuatu judul buku dan novel laris di pasaran, tetapi mempunyai jangka hayat yang pendek sehingga ada yang menjangkau dua minggu saja.

“Dalam pertemuan kami dan penerbit, mereka menceritakan ada buku laku dalam masa dua minggu sehingga penerbit terpaksa mencipta tren baru bagi memaksa pembaca membeli buku baru. Di Indonesia, ada orang yang membeli buku, tetapi membiarkannya sehingga dipinjam orang dan kemudian membeli lagi sehingga produksi buku terus berjalan,” jelasnya.

Kesannya, penerbit besar biasanya meletakkan buku di kedai mereka tidak lebih daripada tempoh sebulan dan sekiranya judul itu tidak laku, ia akan dihantar ke kedai buku yang lebih kecil sehingga akhirnya dijual pada harga terlalu murah.

“Bagaimanapun, senario industrialisasi sastera yang tidak wajar menyebabkan semangat kita padam dan surut, sebaliknya kita perlu menganggap bahawa menulis adalah perbuatan mulia dan menjadi kewajipan, sekali gus ada panggilan dalam hati untuk terus menulis.

“Walau apa pun yang terjadi, kemampuan menulis yang diberikan dari atas pasti akan bermanfaat, bukan hanya pada diri dan keluarga, bahkan kepada masyarakat umum,” katanya.

Mengenai persepsi umum terhadap kualiti dan kuantiti karya, Editor Majalah Horison, Joni Ariadinata, berkeyakinan bahawa tanggapan masyarakat yang menganggap buku terjual sebagai terlaris di pasaran adalah karya bermutu adalah persepsi silap yang perlu diperbetulkan.

“Cara karya itu berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara termasuk mengangkatnya kepada drama dan filem yang menjadi sebahagian aktiviti penerbit sebenarnya adalah urusan perniagaan. Banyak karya yang meledak di pasaran seperti Catatan Si Boy, Kabus Sutra Ungu dan Lupus yang dianggap luar biasa serta mencatat sejarah, tetapi tidak ke mana akhirnya,” katanya.

Pensyarah Universiti Brunei Darussalam, Awang Mohd Zefri Ariff Mohd Md Zain Ariff, melapah aspek pengalaman hidup pengarang yang didakwa akan membantu pembentukan jati diri dan karektor penulis dalam karya dengan kemasukan kepelbagaian ilmu baru dalam proses kehidupannya.

“Proses kematangan diri bukan saja berlaku pada pemikiran, bahkan lewat emosi pengarang sehingga setiap orang akan mengalami krisis meletakkan nilai karektor dan wajah sebagai penulis dalam karya. Oleh kerana ada penulis tidak hanya menulis dalam genre tertentu, kita dapati setiap genre ada cara berbahasa, berkomunikasi dan bercerita berbeza,” jelasnya.

Justeru, proses kehidupan pengarang berlaku dalam lingkungan untuk mengembalikan diri kepada tanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diputuskan dari langit khususnya dalam menyalurkan pemikiran mereka dengan menggunakan keistimewaan, kebolehan dan ilmu mengarang.

“Dengan menerokai wilayah penulisan, kita akan meninggalkan karektor peribadi dalam karya secara berperingkat sehingga apabila kita meninggal dunia, karya kita akan tetap berbicara dan pembaca akan dapat mengenali karektor serta watak pengarang,” katanya.

Bengkel Mastera yang dikendalikan Pusat Bahasa dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), DBP Brunei Darussalam dan Majlis Bahasa Melayu Singapura turut memberi penekanan kepada kepentingan mengangkat warna dan citra budaya tempatan kerana rantau Nusantara kaya dengan kepelbagaian etnik yang mempunyai tradisi tersendiri.

Pada masa sama, keistimewaan warna setempat dalam karya pula perlu ditangani dengan cermat kerana pengarang sewajarnya melakukan rujukan serta mendalami budaya mereka khususnya yang tidak lagi diamalkan seperti langkah pengarang Bali, Oka Rusmini dalam menghasilkan novel, Tarian Bumi.

Antara pembimbing yang turut terbabit ialah pengasas Lingkar Pena, Helvy Tiana Rosa; novelis tanah air, Mohammad Ghazali Abdul Rashid; Pensyarah Universiti Teknologi Nanyang, Yazid Hussein dan Oka, selain peserta turut berpeluang mengikuti ceramah pengarang realisme magis, S Danarto serta sasterawan serba boleh, Putu Wijaya.

0 pesan: